Top Menu

Ketahui 5 Manfaat Bergotong-Royong


Gotong-Royong Mega 2.0 2018
( Kuarters Penjara Seremban)

" Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh"

Ia merupakan satu pepatah yang tidak asing lagi bagi masyarakat kita. Pepatah ini juga berkait dengan satu aktiviti yang melibatkan kerjasama dan kesepaduan masyarakat. Contohnya gotong-royong.


Umum mengetahui, apabila menyebut tentang gotong-royong pasti ada yang akan terbayangkan tentang aktiviti yang melibatkan penyatuan satu masyarakat yang tinggal dalam satu kawasan. Tetapi gotong-royong ini juga selain daripada menyatukan masyarakat ia juga mendatangkan banyak faedah.

Dalam Islam juga amat mementingkan kebersihan dan juga ikatan silaturrahim sesama manusia. Justeru, aktiviti ini bukan sahaja selaras dengan tuntutan Islam, tetapi ia juga memberi faedah serta manfaat yang lain. BalikTembok menghuraikan beberapa faedah dan manfaat yang dapat kita peroleh daripada aktiviti ini.

1. MENGERATKAN HUBUNGAN MASYARAKAT

Aktiviti ini secara tidak langsung dapat mendatangkan keeratan sesama penduduk masyarakat. Melalui aktiviti ini juga hubungan yang renggang di dalam suatu kejiranan dapat dirapatkan. Hal ini kerana masyarakat akan bergaul, berhubung dan melakukan aktiviti yang sama dalam satu pasukan. Secara tidak langsung dapat menjadikan mereka lebih akrab.



مَنْ َأحَبَّ َأ ْ ن يُبْسَ َ ط َلهُ فِي ِ رزْقِهِ، وَيُنْسََأ َلهُ فِي َأَثِرهِ، َفلْيَصِلْ رَحِمَهُ
(رواه مسلم)

Artinya: " Barangsiapa yang suka dimurahkan rezekinya dan dipanjangkan usianya maka hendaklah dia menyambungkan kekeluargaan (silaturrahim).
( H. R Muslim )



2. MENJAGA KEBERSIHAN

Dengan aktiviti ini dapat menjamin kebersihan di kawasan kejiranan kita. Dalam melakukan aktiviti ini, penduduk secara tidak langsung akan membersihkan kawasan tempat tinggal terutamanya kawasan yang berpotensi untuk mengundang nyamuk Aedes yang kita semua tahu punca kepada masalah denggi. Islam juga menuntut umatnya agar sentiasa menjaga kebersihan seperti hadis Rasulullah s.a.w.
(اَلْاِسْلَامُ نَطِـيْفٌ فَتَـنَطَفُوْا فَاِنَـهُ لايَدْخُلُ الْجَنَـةَ اِلانَطِيْفٌ (رواه البيهقى

Artinya : Islam itu adalah bersih, maka jadilah kalian orang yang bersih. Sesungguhnya tidak masuk syurga kecuali orang-orang yang bersih. (H.R Bukhari)

3. MENYIHATKAN BADAN

Aktiviti ini juga turut dapat menyihatkan badan kita. Kerana apabila bergotong royong sekaligus kita akan melakukan aktiviti-aktiviti yang mengeluarkan tenaga dan peluh. Contohnya seperti menyapu, mengangkat barang dan juga mengemas. Justeru tidak hairanlah aktiviti ini secara tidak langsung dapat menyihatkan badan.

4. MERINGANKAN BEBAN PEKERJAAN

Bekerjasama dalam pasukan dapat meringankan beban tugas kita. Sama seperti gotong-royong ini, kerja di dalam pasukan membuatkan kita lebih mudah dan kurang membebankan. Bayangkan sekiranya anda sendirian mengangkat barang-barang besar yang memerlukan kudrat yang kuat. Pasti tidak terangkat kan ? Kerana itu kerjasama amat diperlukan sekaligus dapat disiapkan dengan mudah dan cepat.


5. MENGISI MASA LAPANG

Masa lapang yang kita ada terutamanya ketika bercuti dapat diisi dengan aktiviti yang berfaedah dan menyihatkan. Daripada menghabiskan masa di rumah tanpa membuat sebarang aktiviti dan pergerakan, kita digalakkan menyertai aktiviti-aktiviti seperti ini. Ianya secara tidak langsung memenuhi masa lapang kita dengan sesuatu yang berfaedah.


6. MENANAMKAN SIKAP SUKARELA DAN IKHLAS

Bagaimana sifat ini boleh terhasil dalam diri kita ? Pastinya kerana aktiviti ini menuntut kita melakukan semua perkara bersama-sama dan melalui pembahagian tugas. Sekiranya tugas yang diberi kepada kita tidak dilaksanakan sebaik mungkin pasti akan mendatangkan tanggapan negatif dari masyarakat. Dengan ini sudah tentu kita akan cuba melaksanakan dengan ikhlas dan secara sukarela kerana gotong-royong juga umumnya merupakan satu aktiviti sukarela dan tidak melibatkan paksaan. Jadi sesiapa yang sering melibatkan diri merupakan seseorang yang bersifat sukarelawan dan ringan tulang.


Sebagai penutup, ringankan lah diri anda untuk menyertai program-program kemasyarakatan dan sukarelawan. Banyak manfaat dan faedah yang dapat anda perolehi daripada aktviti tersebut. Bukan sahaja membawa manfaat kepada orang lain tetapi juga untuk diri anda sendiri !!

Catat Ulasan

Designed by OddThemes | Distributed by Gooyaabi Templates