[Travel]

11 Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci

Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci
Haji 1439H


 لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ،.        
Labbay kallahumma malabbayk 


لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، 

Labbayka la' sharika la kalabbayk  



إِنَّ الْحَمْد وَالنِّعْمَةَ

Inn alhamda' wa ni'matah



لَكَ وَالْمُلْكَ لاَشَرِيْكَ لاَ 

Laka walmulk la sharika la

Maksudnya :

HambaMu datang menyahut panggilan Mu,
Hambamu datang memenuhi panggilan Mu, Tiada sekutu bagimu.
Aku datang memenuhi panggilan Mu.
Sesungguhnya segala puji dan nikmat serta kekuasaan adalah milik Mu, 
Tiada sekutu bagi Mu.




Ini adalah lafaz Talbiyah yang sering diucapkan apabila seseorang itu menerima jemputan sebagai tetamu Allah. Tidak kira la sebagai jemaah umrah mahupun haji. Tetapi, sebelum kita pergi untuk menunaikan ibadah umrah ini amnya. Banyak persediaan yang perlu dilakukan. Bukan sahaja dari segi jasmani bahkan juga persediaan dari segi mental dan rohani.

Hal ini kerana menuju ke rumah Allah itu banyak dugaan yang perlu kita tempuhi dengan sabar. Dugaan bukan bermaksud malapetaka atau pun kecelakaan. Tetapi dugaan dari segi suasana persekitaran yang berbeza dengan kita, sosiobudaya masyarakat dan pergerakan kerana kita tidak membawa kenderaan ke sana. Jadi setiap pergerakan kita lebih kepada berjalan kaki bergantung kepada jarak hotel/tempat penginapan menuju ke Baitullah, Masjidil Al-Haram.

Oleh itu, banyak persediaan yang perlu dilakukan sebelum menjadi tetamu Agung. Persediaan bukan sahaja dari segi jasmani tetapi juga persediaan yang melibatkan kerohaniaan. Ini Antara 11 persediaan sebelum ke tanah suci Mekah.

11 Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci


1. Bertaubat kepada Allah s.w.t.

Ramai beranggapan bahawa hanya insan yang tidak melakukan dosa dan a'lim ulama' sahaja yang boleh menjadi tetamu Allah. Kata-kata seperti 'Aku banyak dosa lagi, nantilahh...' , 'Taknak la..banyak sangat cerita-cerita seram aku dengar yang jadi kat Mekah tu.' , 'hmmm..tunggulah nanti aku betul-betul ready'. Ayat ini sering meniti di bibir siapa sahaja yang mendengar atau diundang ke Tanah Suci. Ketahuilah bahawa Allah berkuasa memilih siapa sahaja yang dikehendaki Nya. Tidak kira lah orang yang sering melakukan dosa atau tidak. Panggilan Ilahi merupakan salah satu permulaan untuk kita berubah dan mungkin itu adalah cara Dia mengetuk pintu hati kita agar tetap menjadi hambaNya yang bertakwa. Justeru, banyakkan bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah sebelum kita menuju ke rumah Nya.

Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci
Memori Haji 2018 (1439H)
Jemaah dari Pakistan
2. Membuat persiapan rohani.

Persiapan ini sama juga keadaannya seperti kita bertandang ke rumah saudara atau kawan, pasti kita akan bersiap dan mengenakan pakaian yang terbaik. Begitu juga sebelum menjadi tetamu Allah. Siapkan diri kita dengan sebaik-baik persiapan supaya kehadiran kita sebagai tetamu Nya berjalan lancar. Antara persiapan rohani yang boleh dilakukan seperti perbanyakkan melakukan amal ibadah, banyakkan berzikir dan juga melakukan solat-solat sunat seperti tahajud, dhuha dan solat sunat hajat bagi memohon dipermudahkan urusan dan keselamatan kita terpelihara sepanjang menjadi tetamu Nya.

إِنَّمَا التَّوْبَةُ عَلَى اللَّهِ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السُّوءَ بِجَهَالَةٍ ثُمَّ يَتُوبُونَ مِنْ قَرِيبٍ فَأُولَٰئِكَ يَتُوبُ اللَّهُ عَلَيْهِمْ ۗ وَكَانَ اللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya : Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.



( An-Nisa' : 17 )

3. Menghadiri kursus persiapan ke Tanah Suci.

Kursus atau pun kelas asas sebelum ke Tanah Suci amat penting untuk dihadiri. Terutamanya bagi yang pertama kali ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Tidak kira lah sama ada untuk tujuan ibadah Haji ataupun ibadah Umrah. Ia amat penting bagi menunjukkan gambaran suasana dan langkah-langkah perlaksanaan ibadah haji dan umrah.Selain itu kita juga perlu mengetahui tentang larangan-larangan ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah. Bayangkan sekiranya anda pergi secara melulu tanpa menghadiri mana-mana kelas atau ceramah berkaitan. Pasti banyak rukun-rukun ibadah yang tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

4. Perbaiki bacaan Al-Quran.

Kenapa dengan Al-Quran ? Bukankah sembahyang di sana kita hanya mengikuti imam sahaja. Ya, memang kita akan bersolat secara berjemaah kerana tiada siapa yang ingin melepaskan ganjaran dan peluang untuk solat berjemaah di 2 masjid suci iaitu Masjidil Haram dan Masjid Al-Nabawi. Tetapi dalam masa menunggu waktu solat, banyak masa lapang yang kita ada. Justeru, perbanyakkan amalan dan juga membaca Al-Quran ketika di sana. Ruginya jika kita hanya duduk termenung sedangkan ada jemaah di sebelah kita sedang khusyuk membaca Al-Quran. Lebih elok jika kita dapat khatamkan 30 juz ketika di sana. (Khususnya untuk ibadah haji kerana tinggal di sana lebih kurang 40 hari).

5. Banyakkan bersedekah.

Sebelum ke sana, kita juga amat digalakkan bersedekah dan melakukan amal. Hal ini kerana, banyak manfaat daripada sedekah yang kita tidak ketahui. Selain daripada menyucikan harta, sedekah juga turut membuat kita menjadi seorang yang ikhlas dan mempunyai sifat dermawan. Jangan takut miskin kerana bersedekah, kerana setiap sedekah yang dilakukan pasti mendapat ganjaran berkali ganda daripada Allah s.w.t.

6. Memohon maaf.

Bunyinya seakan-akan menyambut hari raya bukan ? Ya!, bermaafan sesama manusia ini bukan sahaja tertumpu ketika musim raya. Sebelum ke Tanah Suci juga kita perlu bermaaf-maafan sesama manusia kerana kita tidak pasti adakah pemergian kita ini adalah pemergiaan untuk selama-lamanya!.

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ

Maksudnya : Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan ma'aruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh " 

( Al- A'raaf : 199 )

7. Persediaan fizikal.

Persediaan dari segi fizikal perlu dilakukan. Contohnya berjoging dan beriadah. Aktiviti perlu dilakukan bagi mempersiapkan diri dan stamina kita kerana keadaan bentuk muka bumi di Tanah Suci serta jarak antara penginapan ke Masjidil Haram kebiasaannya berjarak 500m ke atas. Tetapi tidak bagi siapa yang mengambil pakej VIP, mungkin hotel hanya bersebelahan Masjidil Haram sahaja seperti Swiss Hotel Mecca, Dar Al Tawhid Intercontinental Hotel dan Hilton Mekkah Hotel. Jika kita tidak mempersiapkan diri dengan aktiviti yang melibatkan fizikal mungkin amat sukar bagi kita melaksanakan ibadah. Di dalam rukun haji dan umrah juga terdapat perbuatan Tawaf dan Sa'ie yang memerlukan kita berjalan serta berkemungkinan akan berhadapan dengan jutaan jemaah lain.

Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci
Memori Haji 2018 (1439H)
Kenangan bersama geng bujang.

8. Persediaan kewangan.

Dari segi kewangan pula perlu disediakan secukupnya. Pastikan kita tahu nilai semasa matawang Arab Saudi (SAR) agar kita tidak silap percaturan terutamanya ketika membuat bayaran. Ini penting kerana wang saku diperlukan sebagai perbelanjaan membeli belah, beberapa bayaran yang tidak termasuk dalam pakej dan juga membeli makanan tempatan Arab Saudi yang tiada di negara kita. Jangan lupa juga untuk membuat tukaran wang kecil dalam not 1 SAR dan 5 SAR. Ini bertujuan untuk kita bersedekah ketika di Tanah Suci. Sedekah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, tetapi kebiasaan jemaah akan memberi sedekah kepada pekerja-pekerja di Masjidil Haram dan Masjid Al-Nabawi. Perlu kita ingat, setiap amalan dan sedekah di Tanah Suci ganjarannya tidak sama seperti di tempat lain. Jadi jangan lepaskan peluang untuk perbanyakkan amal ketika di sana.


لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ
Artinya : Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sehahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. 
( Al Imran : 92 )




Untuk pengetahuan tambahan, uniform pekerja di Masjidil Haram dan Masjid Al-Nabawi mempunyai beberapa warna. Biru melibatkan pekerja kebersihan dan uniform berwarna coklat merupakan pekerja di bahagian Air Zam-Zam.

9. Persediaan kelengkapan.

Kelengkapan yang dimaksudkan dari segi ubat-ubatan, pakaian dan beberapa peralatan kebersihan. Kebiasaannya di sana, jemaah hanya menggunakan jubah. Jadi tidak perlu untuk kita mengisi beg pakaian kita dengan pakaian yang tidak akan dipakai, contohnya jeans, kebaya dan beberapa pakaian yang kita rasa tidak perlu. Jangan lupa juga untuk membawa kain ihram kerana ia satu pakaian yang perlu di pakai ketika kita melaksanakan ibadah haji atau umrah.

Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci
Umrah 2015
 Bersama ibu.

                            نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَاَحْرَمْتُ بِهَا ِللهِ تَعَالَى

                           (NAWAITUL 'UMROTA WA AHROMTU BIHAA LILLAAHI TA'AALA)

Maksudnya: Sahaja aku berniat umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta'ala.

*untuk niat ihram mengerjakan haji terdapat beberapa cara kerana pelaksanaannya terbahagi kepada 3 : Haji Tamatu', Haji Ifrad dan Haji Qiran. Setiap satunya mempunyai cara berniat tersendiri. Boleh rujuk mana-mana sumber berkaitan Pelaksanaan Ibadah Haji dan Umrah.


10. Melatih sifat sabar.

Kesabaran merupakan keutamaan di sana. Kerana terdapat banyak dugaan dan cabaran ketika berada di Tanah Suci. Terutamanya ketika berada di dalam masjid kerana kita akan berhadapan dengan jutaan jemaah yang hadir dari pelbagai negara dan tentunya sifat dan tingkahlaku mereka amat berbeza dengan sifat jemaah dari negara kita. Justeru banyakkan bersabar jika kita diuji dengan perkara-perkara yang akan membuat kita hilang kesabaran.

11. Tawakal.

Tawakal ! Ketahuilah setelah kita berusaha melakukan semua persiapan dan doa kepada Allah, maka jalan terakhir yang pelru dilakukan ialah sentiasa bertawakal kepadaNya. Tiada yang berkuasa selain Dia. Maka sentiasa bermohon agar perjalanan ibdadah kita berjalan lancar, diberikan kesihatan yang baik serta ibadah yang diterima.

Akhir kata, berusahalah untuk mempersembahkan dan mempersiapkan yang terbaik sebelum menjadi tetamu Allah supaya pemergian dan pengorbanan yang kita lakukan dari segi tenaga dan wang ringgit tidak sia-sia. Semoga mendapat Ibadah Haji dan Umrah yang diterima !

" Allah tidak panggil siapa yang mampu, tetapi Dia memampukan siapa yang mahu, rindu dan yakin kepadaNya ! "




11 Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci 11 Persediaan Sebelum Ke Tanah Suci Reviewed by Akmal Izzat on November 25, 2018 Rating: 5

Tiada ulasan