[Travel]

4 Caranya Untuk Kita Bersyukur


Berbicara soal syukur: Adakah kita tergolong dalam hamba-hambaNya yang sering mengucapkan syukur kepada Sang Maha Pencipta ?

Sebagai seorang hamba, kita perlu selalu memanjatkan syukur kepada Allah s.w.t. Tidak kira apa pun yang berlaku. Kerana dengan syukur ini akan sentiasa mengajar kita untuk menerima apa jua dengan redha dan sentiasa merasa cukup.

Apakah yang dimaksudkan dengan SYUKUR ?

Syukur itu banyak cara, syukur itu datangnya dari ucapan, dizahirkan dengan sikap dan dilaksanakan dengan perbuatan dari seorang insan bergelar hamba kepada Pencipta Nya. Ia juga mesti selari dengan pengakuan secara ikhlas atas segala nikmat dan kurniaan yang diberikan oleh Sang Pemberi Rezeki (Al-Razzaq) tidak kira di masa lapang atau pun sulit.

Berpandukan pada denifisi Imam Al-Ghazali dalam kitabnya berjudul 'Ihya Ulumuddin' : 

Syukur itu cara kita menjunjung tinggi nikmat Allah, seterusnya mengagungkan Allah s.w.t. Syukur juga merupakan salah satu maqam yakni (darjat) yang paling tinggi dari sabar dan khauf (takut kepada Allah s.w.t).

Lantaran bersoal tentang syukur kepada Allah s.w.t di atas segala nikmat kurniaanNya, pernahkah kita bermuhasabah sejenak bagaimana caranya untuk kita menzahirkan kesyukuran tersebut ? Di sini kita berkongsi 4 cara untuk menzahirkan rasa syukur kita.


1. Bersyukur Dengan Hati

Iaitu dengan mengakui dan mempercayai bahawa segala nikmat yang kita perolehi ini sama ada kecil, besar, banyak atau sedikit adalah daripada Allah SWT bukan yang lain. Walaupun, secara mata kasarnya kita melihat bahawa segala kenikmatan yang kita perolehi itu kadang datangnya dari manusia. Namun, perlu disedari bahawasanya manusia itu hanyalah sebagai perantara sahaja. Firman Allah SWT;

Dan, apa sahaja nikmat yang ada pada kamu, maka dari Allahlah (datangnya) dan apabila kamu ditimpa oleh kemudaratan, maka hanya kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan.(An-Nahl : 53)





2. Bersyukur Dengan Lisan

Iaitu dengan mengucapkan secara jelas ungkapan syukur itu berupa hamdalah; puji-pujian kepada Allah SWT dengan lafaz ‘Alhamdulillah’ yang bermaksud ‘Segala Pujian bagi Allah’. Semakin banyak dan kerap kita panjatkan kesyukuran, maka semakin banyaklah nikmat lain yang akan kita perolehi kelak. Hal ini sepertimana janji Allah SWT dalam firmanNya yang bermaksud;

Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memberitahu, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih’.(Ibrahim: 7)

 3. Bersyukur Dengan Amal Perbuatan


Iaitu dengan menggunakan nikmat tubuh badan seperti nikmat mata, telinga, lidah, tangan, perut, kemaluan dan kaki untuk hal-hal yang baik. Mata disyukuri dengan cara melihat setiap satu ciptaan Allah SWT serta merasai keagunganNya juga tidak melihat perkara-perkara yang diharamkan. 

Telinga disyukuri dengan cara mendengar perkara yang baik-baik seperti bacaan Al-Quran mahupun tazkirah. Lidah pula disyukuri dengan cara memperbanyakkan zikrullah ataupun ucapan selawat ke atas Rasulullah SAW.Seterusnya, tangan disyukuri dengan cara menggunakannya untuk tujuan yang baik seperti membantu orang lain yang memerlukan. Nikmat perut disyukuri dengan cara memakan makanan yang halal dan tidak membazir.

Manakala nikmat seksual pula disyukuri dengan cara menggunakannya hanya pada yang halal sahaja iaitu antara suami dan isteri yang telah sah diijab kabulkan. Dan, kaki pula disyukuri dengan cara menggunakannya ke tempat yang baik seperti majlis ilmu atau masjid.


4. Bersyukur Dengan Nikmat Pemberian


Iaitu dengan cara memanfaatkan segala nikmat yang dikurniakannya berupa harta benda, wang ringgit, masa mahupun ilmu, ke jalan yang diredhai oleh Allah SWT.
Harta yang banyak boleh diinfakkan untuk mereka yang memerlukan. Nikmat ilmu yang diperolehi pula boleh dikongsi dan diajarkan kepada orang lain. Manakala nikmat masa pula digunakan dengan cara yang sebaiknya dan tidak sia-sia.
Begitulah antara beberapa perkara yang boleh kita laksanakan dalam mensyukuri segala nikmat pemberian Allah SWT ini. Syukur itu bukan hanya dizahirkan melalui harta benda, bahkan melalui rukuk dan sujud kita kepada Allah juga sudah membuktikan syukur serta taat kita kepadaNya.


sumber : tazkirah.net
4 Caranya Untuk Kita Bersyukur 4 Caranya Untuk Kita Bersyukur Reviewed by Solihin Wahid on Julai 05, 2018 Rating: 5

Tiada ulasan